Apa Itu Anggaran Cukai CP204 untuk syarikat Sdn Bhd?

CP204 ialah Borang Anggaran Cukai Kena Dibayar yang perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) oleh syarikat bagi menganggarkan jumlah cukai pendapatan yang akan dikenakan untuk sesuatu Tahun Taksiran.

Jumlah cukai yang dianggarkan melalui CP204 akan menjadi asas kepada pembayaran cukai secara ansuran bulanan kepada LHDN sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Mengapa CP204 Diperlukan?

CP204 membolehkan LHDN menentukan jumlah bayaran cukai ansuran yang perlu dibuat oleh syarikat sebelum penyata cukai pendapatan sebenar dikemukakan. Anggaran tersebut lazimnya dibuat berdasarkan jangkaan pendapatan, perbelanjaan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan berkenaan.

Tahun Taksiran CP204

Tahun Taksiran adalah berdasarkan tahun tempoh perakaunan syarikat berakhir. Sebagai contoh:

Tarikh Akhir Tempoh Kewangan (FYE)Tahun Taksiran
31 Disember 20262026
30 Jun 20262026
31 Mac 20272027

Apa Maklumat Yang Diperlukan?

Bagi tujuan penyediaan anggaran cukai, syarikat lazimnya perlu menyediakan maklumat berikut:

  • Anggaran jualan atau pendapatan;
  • Anggaran perbelanjaan operasi;
  • Anggaran keuntungan sebelum cukai; dan
  • Sebarang maklumat lain yang boleh memberi kesan kepada kedudukan cukai syarikat.

Nota

Kegagalan mengemukakan CP204 atau membuat bayaran ansuran cukai mengikut jadual yang ditetapkan boleh menyebabkan penalti dikenakan oleh LHDN. Oleh itu, syarikat disarankan untuk membuat anggaran yang munasabah berdasarkan unjuran kewangan semasa.

CP204 boleh disemak semula (revised) melalui CP204A.

Secara amnya:

  • Jika anggaran asal terlalu rendah atau terlalu tinggi, syarikat boleh membuat pindaan.
  • Pindaan hanya boleh dibuat dalam tempoh yang dibenarkan oleh LHDN.
  • Selepas CP204A dikemukakan, baki ansuran cukai bulanan akan diselaraskan berdasarkan anggaran baharu.

Contoh:

  • CP204 asal: Anggaran cukai RM24,000
  • Selepas 6 bulan, syarikat mendapat kontrak besar dan keuntungan dijangka meningkat.
  • Syarikat boleh mengemukakan CP204A dan menaikkan anggaran cukai kepada RM40,000.

Begitu juga jika prestasi syarikat merosot dan keuntungan dijangka lebih rendah daripada anggaran asal, syarikat boleh memohon untuk mengurangkan anggaran cukai melalui CP204A.

Perkara penting:
Jika anggaran cukai yang dikemukakan terlalu rendah berbanding cukai sebenar, LHDN boleh mengenakan penalti atas kurang anggaran cukai tertakluk kepada peruntukan semasa Akta Cukai Pendapatan.

Jadi, CP204 bukan angka yang “lock” sehingga hujung tahun. Ia boleh disemak semula melalui CP204A apabila terdapat perubahan ketara dalam prestasi kewangan syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *